Ngajat bagi orang-orang Iban adalah tarian semasa menyambut Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu ianya ditarikan selepas mereka kembali dari berperang. Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras diperbuat dari kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.Tarian ini ditarikan dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai dan engkurungmong.
Mak Yong merupakan taridra Melayu yang unik dan halus sifatnya. Ia merupakan kombinasi dari unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan. Terdapat 12 cerita pokok Mak Yong yang utama antaranya termasuklah Dewa Muda, Raja Tangkai Hati, Raja Bijak Laksana, Gading Betimang, Raja Muda Lakleng dan Raja Besar Ho Gading. Taridra trdisional Melayu ini dipersembahkan oleh watak-watak seperti Pak Yong, Pak Yong Muda, Mak Yong, Puteri Mak Yong, Peran dan watak Dayang-Dayang. Keunikan Teater Mak Yong telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai (Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity) yang merupakan pengikhtirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya.
Para penari dan pelakon biasanya menghias diri sendiri. Watak utama Pak Yong mengenakan kostium khas dengan memakai mahkota kain baldu, sampin la dada, pending dan tersisip sebilah keris di pinggang. Peran, watak kelakar akan mengenakan pakaian aneka warna dan fesyen mengundang ketawa penonton. Bangsal atau panggung dibina beratap tanpa dinding agar dapat ditonton dari semua penjuru. Orkestranya disusun dengan pemain rebab di sebelah Timur berhampiran tiang seri bangsal bagi membolehkan pelakon menghadap ke arahnya sewaktu tarian pembukaan yakni (Menghadap Rebab). Pemuzik lain boleh duduk sebaris dengan perebab, mengikut k
esesuaian. Peralatan orkestra yang lain termasuklah sepasang gong (tetawak), geduk, gendang, canang, kesi dan serunai. Seikat rotan bera perlu untuk seorang pelakon Pak Yong, Mak Yong, menteri atau raja tertentu. Golok-golok dibuat daripada papan dibelah dua bahagian tengah atau mata (untuk menguatkan bunyi jika memukul) sebagai kegunaan peran sepanjang penampilannya.
Persembahan dibuat secara gerak tari berkeliling. Dimulakan dengan acara ~Buka Panggung ~dikuti dengan bertabuh,~Menghadap Rebab, ~Sedayung Pak Yong, Sedayung Mak Yong, Ziarah Bilik Pengasuh (Sedayung Panggil Awang), ~Berkhabar, ~Ello atau Wok dan seterusnya sebarang lagu atau tari mengikut cerita yang dipentaskan. ~Persembahan di tamatkan dengan Tutup Panggung. Terdapat tidak kurang daripada 50 buah lagu Mak Yong. Namun mereka yang mengetahui dan boleh menyanyikannya semakin berkurangan.
Terdapat tidak kurang daripada 30 buah cerita Mak Yong namun, hanya 12 cerita yang sering dipentaskan. Cerita berkenaan termasuklah; Dewa Muda, Bongsu Sakti, Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati, Dewa Pecil, Raja Muda Lakleng, Raja Besar Ho Gading, Anak Raja Panah Dewa Indera - Indera Dewa, Raja Muda Laksana, Bedara Muda dan Endeng Tajeli (Anak Raja Gondang, Batak Raja Gondang, Bongsu Sakti)
Cerita-cerita Mak Yong sarat dengan pengajaran atau unsur-unsur moralnya. Adab berhadapan dengan raja harus dijaga walaupun ada kalanya mereka boleh dibawa bergurau. Begitu juga bagi pihak raja, tanamkan rasa belas kasihan kepada rakyat walaupun ada kalanya mereka dungu. Kerja raja (kerajaan) hendaklah diutamakan (dijunjung) dahulu daripada urusan sendiri (dikelek) sesuai dengan etika perkhidmatan penjawat awam. Keseluruhan cerita bertemakan buat baik dibalas baik, buat jahat lambat laun mendapat bala atau musibah.
Wayang Kulit adalah satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak mitos dan khayalan dilarikan oleh seorang dalang. Di Alam Melayu, Wayang Kulit boleh didapati dalam beberapa jenis. Antaranya termasuklah Wayang Kelantan, Wayang Melayu, Wayang Purwo dan Wayang Gedek. Persembahan wayang kulit akan diiringi dengan satu kumpulan muzik sebagai membantu menghidupkan lagi watak-watak yang dimainkan dan menggambarkan suasana adegan-adegan yang berlaku ketika itu. Peralatan muzik yang sering digunakan dalam persembahan wayang kulit adalah Serunai (utama), Gendang Ibu, Gendang Anak, Gendombak Ibu, Gedombak Anak, Kesi, Geduk Ibu, Geduk Anak, Canang dan Gong. Wayang kulit di Malaysia terbahagi kepada tiga jenis iaitu Wayang Kelantan, Wayang Purwo dan Wayang Gedek. Wayang Kelantan terdapat di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang mempersembahkan cerita-cerita Hikayat Seri Rama, manakala Wayang Purwo pula terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor yang mengetengahkan episod dari kitab Mahabrata dan cerita Panji. Wayang kulit didirikan oleh beberapa elemen penting iaitu dalang, patung, kelir dan muzik. Gabungan dari elemen inilah yang menjadikan persembahan wayang kulit satu persembahan yang harmonis.
Bujam merupakan alat atau bekas berbentuk empat segi yang diperbuat daripada mengkuang atau pandan yang dianyam. Ruang kosong di dalamnya adalah untuk meletak bekas kapur, gambir, kacip pinang dan sirih.
Bujam tergolong dalam kumpulan atau alatan yang sama dengan sumpit ataupun karung yang diperbuat daripada anyaman pandan atau mengkuang, tetapi dibezakan melalui saiznya sahaja. Sumpit atau karung bersaiz besar yang digunkan untuk mengisi beras, garam dan seumpamanya pada masa dahulu, manakala bujam
yang bersaiz kecil daripada karung digunakan untuk mengisi bahan-bahan untuk tujuan tertentu.
Terdapat tiga jenis bujam yang digunakan oleh masyarakat Melayu Kuala Pilah dalam upacara tertentu, iaitu Bujam, Bujam Epok, dan Bujam Epok Tali Bertindan. Dalam masyarakat Melayu Kuala Pilah, Bujam digunakan untuk tujuan prubatan.Bujam berperanan sebagai bahan atau alat yang dibawa oleh seseorang sewaktu mendapatkan rawatan daripada bomoh atau pawang pada zaman sebelum kewujudan institusi perubatan moden seperti pusat kesihatan dan hospital. Bujam dijadikan pengeras atau sebagai pembuka kata ketika bertemu bomoh atau pawang sebelum menyatakan tujuan. Pengamal perubatan akan sedia maklum akan tujuan kedatangan seseorang sebaik sahaja melihat Bujam yang dibawa bersama.
Pesta Ponggal akan diraikan pada pertengahan bulan Januari setiap tahun atau Thai Maasam (menurut Kalendar Tamil) yakni bersempenaan musim menuai. Perayaan ini amat dinanti-nantikan oleh kaum India dan diraikan secara besar-besaran sejak turun temurun lagi dengan pelbagai atur cara yang bersendikan kebudayaan.
Perayaan Ponggal ini akan disambut selama empat hari berturut-turut. perayaan ini melambangkan kesyukuran masyarakat India dan mereka berharap tahun-tahun mendatang akan melimpahkan dengan rezeki yang berlipat ganda.
Sehari sebelum perayaan (Parchu Borghi), masyarakat India akan memasak pelbagai masakan sebagai hidangan sembahyang untuk malaikat dan saudara mara yang telah meninggal dunia. Semua hidangan tersebut akan disediakan di atas daun pisang dan diletakkan di atas lantai sewaktu sembahyang parchu yang diadakan pada pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam.
Pada hari perayaan pula, yakni Thai Ponggal masyarakat India akan ke kuil untuk mendirikan sembahyang dan melaksanakan upacara memasak ponggal (campuran nasi dengan susu lembu). hanya satu periuk ponggal digunakan lalu dimasak oleh ketua kuil. Ketika masakan ponggal tengah meruap dan mendidih, ketua kuil dan anak-anak buahnya akan menyambut dengan kata-kata "ponggal le ponggal" berulang kali yang bermaksud akan dilimpahi rezeki pada masa akan datang.
Selepas hari perayaan (Maadhu Ponggal) yakni hari kedua perayaan, lembu yang banyak berjasa kepada mereka (binatang yang membantu mengerjakan sawah) akan dimuliakan dan diraikan. Lembu tersebut akan dimandikan dan dihiasi dengan pakaian (baju lembu) dan dikalungkan dengan bunga malai. Nasi susu dan nasi manis akan dihidangkan sebagai jamuan haiwan suci itu. Kemudian lembu tersebut akan diarak sekeliling kampung sambil diiringi dengan paluan gendang.
Bersamaan dengan hari ketiga pesta ponggal itu (Kaani Ponggal) adalah merupakan hari penghormatan kepada anak-anak dara. Mereka akan bangun awal pagi untuk bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik di samping dihiasi dengan barang-barang kemas untuk menyerlahkan lagi aura mereka. Ibu bapa mereka pula akan melafazkan kata-kata agar anak mereka dijodohkan dengan lelaki yang baik dan dilanjutkan usia. Pada waktu petangnya, anak-anak dara ini akan memasak nasi ponggal untuk tujuan hidangan kepada Dewa mereka sambil memasang niat masing-masing.
(Sumber : Dewan Budaya, Mac 2007. Shahrulnizam Azuddin)
Masyarakat Palau' merupakan salah satu etnik kecil daripada rumpun Bajau Laut yang mendiami bahagian pantai timur, Semporna, Sabah. Kedatangan etnik ini ke Semporna dianggarkan sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kelompok awal yang datang ke kawasan sekitar pulau-pulau berhampiran perairan semporna adalah dalam kelompok seramai 40 hingga 50 buah perahu. Akhirnya mereka telah membuka satu pertempatan kekal di sebuah kampung yang dinamakan Kampung Bangao-Bangao.
Sebahagian daripada masyarakat ini belum lagi memiliki hak kewarganegaraan kerana mereka dikatakan berasal dari kepulauan Filipina. Oleh sebab tidak memiliki kewarganeraan ini, kehidupan mereka tersisih dari arus pembangunan yang sedang dinikmati oleh masyarakat tempatan. namun, penduduk Semporna yang lain amat bersimpati kepada masyarakat ini lantas menghulurkan bantuan yang termampu kepada mereka.
Masyarakat Palau' memiliki warisan budaya yang amat bernilai dan perlu diketengahkan agar ciri-ciri keistimewaan yang ada dapat dikongsi bersama dengan masyarakat lain. Kepercayaan dan amalan warisan orang Palau' sebahagian besar masih dipraktikkan sehingga kini walaupun negara telah mengalami proses perubahan dan asimilasi.
Tikar pandak merupakan tikar mengkuang yang paling awal dicipta di Negeri Sembilan. Tikar pandak ini merupakan satu hasil kesenian yang masihb bertahan di Negeri Sembilan sehingga kini. Selain menjadi barang keperluan dan perhiasan dinding rumah, tikar pandak digunakan semasa majlis perkahwinan, pertunangan, dan adat istiadat masyarakat Melayu Negeri Sembilan, terutamanya yang mengamalkan adat pepatih.
Terdapat dua jenis Tikar Pandak , iaitu yang berbentuk segi empat panjang dan segi empat tepat. Tikar pandak dihiasi dengan pelbagai awan larat atau motif supaya kelihatan lebih cantik dan menarik. bahagian atas Tikar Pandak pula ada yang berlapis sehingga dua atau tiga tingkat (bertingkat-tingkat).