Isnin, 16 Ogos 2010

Bujam Warisan Melayu Kuala Pilah


Bujam merupakan alat atau bekas berbentuk empat segi yang diperbuat daripada mengkuang atau pandan yang dianyam. Ruang kosong di dalamnya adalah untuk meletak bekas kapur, gambir, kacip pinang dan sirih.

Bujam tergolong dalam kumpulan atau alatan yang sama dengan sumpit ataupun karung yang diperbuat daripada anyaman pandan atau mengkuang, tetapi dibezakan melalui saiznya sahaja. Sumpit atau karung bersaiz besar yang digunkan untuk mengisi beras, garam dan seumpamanya pada masa dahulu, manakala bujam
yang bersaiz kecil daripada karung digunakan untuk mengisi bahan-bahan untuk tujuan tertentu.


Terdapat tiga jenis bujam yang digunakan oleh masyarakat Melayu Kuala Pilah dalam upacara tertentu, iaitu Bujam, Bujam Epok, dan Bujam Epok Tali Bertindan. Dalam masyarakat Melayu Kuala Pilah, Bujam digunakan untuk tujuan prubatan.Bujam berperanan sebagai bahan atau alat yang dibawa oleh seseorang sewaktu mendapatkan rawatan daripada bomoh atau pawang pada zaman sebelum kewujudan institusi perubatan moden seperti pusat kesihatan dan hospital. Bujam dijadikan pengeras atau sebagai pembuka kata ketika bertemu bomoh atau pawang sebelum menyatakan tujuan. Pengamal perubatan akan sedia maklum akan tujuan kedatangan seseorang sebaik sahaja melihat Bujam yang dibawa bersama.



Bujam Epok menyamai Bujam dari segi bentuk, saiz, dan jenis anyaman serta bahan yang digunakan tetapi berbeza fungsi dan tujuan. Bujam Epok digunakan adat istiadat tertentu masyarakat Melayu Kuala Pilah, umpamanya upacara peminangan dan juga sebagai pelengkap istiadat nikah kahwin. Bujam Epok juga berperanan sebagai pelengkap adat bagi menjemput lelaki balik ke rumah keluarganya apabila lelaki tersebut kematian isteri.

Bujam Epok Tali Bertindan pual menyamai Bujam Epok dari segi bentuk, saiz dan bahan anyaman yang digunakan. Yang membezakan ialah fungsi dan tali yang dililit pada bahagian luar Bujam Epok Tali Bertindan. Bujam tersebut dililit empat lilitan yang melambangkan empat orang Lembaga dalam Hulu Muar. Hanya mereka yang dibolehkan menggunakan Bujam Epok Tali Bertindan dalam istiadat yang diadakan. Dalam setiap upacara adat pepatih, hanya Lembaga yang dibenarkan menggunakan Bujam Epok Tali Bertindan.


(Sumber : Dewan Budaya, Mac 2007, Norshidah Abdul Ghani)

Bujam Epok

2 ulasan:

Cikgu Gee.. berkata...

flo..rungus pun ada juga buat daripada mengkuang juga..hehe...tapi generasi baru tak pandai buat.

Florence James berkata...

km xda kak gee... first time jga dgr ni

Catat Ulasan