Wayang kulit di Malaysia terbahagi kepada tiga jenis iaitu Wayang Kelantan, Wayang Purwo dan Wayang Gedek. Wayang Kelantan terdapat di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur yang mempersembahkan cerita-cerita Hikayat Seri Rama, manakala Wayang Purwo pula terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor yang mengetengahkan episod dari kitab Mahabrata dan cerita Panji. Wayang kulit didirikan oleh beberapa elemen penting iaitu dalang, patung, kelir dan muzik. Gabungan dari elemen inilah yang menjadikan persembahan wayang kulit satu persembahan yang harmonis.
Terdapat beberapa elemen yang terdapat di dalam wayang kulit yakni :
Dalang - Dalang merupakan pemimpin dan tukang cerita dalam persembahan wayang kulit. Dalang juga bertindak sebagai pemain segala peranan dalam cerita wayang kulit dengan menggerakkan patung yang diukir daripada kulit lembu, untuk melambangkan pelbagai watak dalam cerita seperti Ramayana, Mahabrata dan Panji. Dalang dikenali sebagai tokoh pencerita yang beraksi sambil bercerita, serta memainkan patung wayang kulit. Antara dalang-dalang yang terkenal ialah Pak Hamzah, Dolah Baju Merah, Dalang Noh Siam, Pak Margono Sitir dan lain-lain.
Pentas / Kelir - Pentas Wayang Kulit diperbuat daripada kayu begitu juga dindingnya manakala bagi atap pula diperbuat daripada daun rumbia atau daun nipah. Pentas biasanya dibina tiga atau empat kaki daripada tanah dan ia menyerupai pondok kecil yang boleh menempatkan patung-patung, ala-alat muzik dan perkaksas-perkakas persembahan. Kelir pula merupakan sejenis kain putih direntang di depan panggung yang melindungi dalang dan pemain muzik. Di belakang kelir dipasang lampu untuk menerbitkan bayang. Pada zaman dahulu, lambu (belincong) yang digunakan ialah pelita ayam sebelum muncul gasolin. Kini bal lampu digunakan menggantikan gasolin dan pelita ayam.
Patung - Patung-patung merupakan peranan penting dalam wayang kulit. Bentuk patung wayang kulit yang berpengaruh Jawa mempunyai sendi tangan yang boleh digerakkan tetapi pada patung wayang kulit Kelantan hanya mempunytai satu sendi tangan. Antara watak-watak wayang kulit yang digunakan ialah seperti Wak Long, Pak Dogol, Mahasiko (Wayang Kelantan), Semar dan Cemuras/Turas (Wayang Melayu) bukan sahaja melambangkan perwatakan tempatan tetapi pembentukan patungnya juga terkeluar dari kelaziman pembentukan patung-patung yang lain.
Muzik - Penggunaan alat muzik dalam persembahan wayang kulit adalah berbeza antara satu dengan yang lain. Peralatan muzik untuk Wayang Kulit Kelantan ialah gong, (tetawak), gendang, geduk, gedombak, canang, mong, serunai dan kesi. Bagi Wayang kulit Purwo pula alat-alat muzik yang digunakan ialah gong besar (gong Agong), gong suwukan, gambang, kempul, kenong, gender, slentem, demung, saron, peking (saron penerus), ketok / kompang, rebab dan gendang. Antara jenis-jenis lagu yang dimainkan pula ialah seperti Lagu Bertabuh, Perang, Seri Rama, Kabar Manja, Buluh Seruas, Pandan Wangi dan banyak lagi.
Wayang Kulit merupakan satu warisan Malaysia yang amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia selain kesenian yang unik, wayang kulit ini juga mengandungi undsur-unsur supernatural yang sukar dijelaskan melalui pandangan biasa tetapi melalui kritikan seni. Sesungguhnya, seni wayang kulit ini harus dimartabatkan demi kelangsunganmnya pada masa depan.
0 ulasan:
Catat Ulasan