Rabu, 11 Ogos 2010

Masyarakt Palau' di Sabah

Masyarakat Palau' merupakan salah satu etnik kecil daripada rumpun Bajau Laut yang mendiami bahagian pantai timur, Semporna, Sabah. Kedatangan etnik ini ke Semporna dianggarkan sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kelompok awal yang datang ke kawasan sekitar pulau-pulau berhampiran perairan semporna adalah dalam kelompok seramai 40 hingga 50 buah perahu. Akhirnya mereka telah membuka satu pertempatan kekal di sebuah kampung yang dinamakan Kampung Bangao-Bangao.

Sebahagian daripada masyarakat ini belum lagi memiliki hak kewarganegaraan kerana mereka dikatakan berasal dari kepulauan Filipina. Oleh sebab tidak memiliki kewarganeraan ini, kehidupan mereka tersisih dari arus pembangunan yang sedang dinikmati oleh masyarakat tempatan. namun, penduduk Semporna yang lain amat bersimpati kepada masyarakat ini lantas menghulurkan bantuan yang termampu kepada mereka.


Masyarakat Palau' memiliki warisan budaya yang amat bernilai dan perlu diketengahkan agar ciri-ciri keistimewaan yang ada dapat dikongsi bersama dengan masyarakat lain. Kepercayaan dan amalan warisan orang Palau' sebahagian besar masih dipraktikkan sehingga kini walaupun negara telah mengalami proses perubahan dan asimilasi.


Orang Palau' juga dikenali sebagai Bajau Laut suka tinggal di dalam perahu ataupun dikenali sebagai lepa-lepa atau bogok. Sungguhpun ramai di kalangan mereka yang berumah di dalam perahu, namun sebahagian kecil daripada mereka telah pun tinggal di kawasan daratan. Nama Palau' diambil daripada perkataan "pelaut" atau "perahu". Kini istilah Palau' tidak lagi dianggap sebagai sau konotasi yang negatif, malah dijadikan pengenalan khas untuk orang Bajau Laut daripada etnik ini apabila membuat urusan harian.

Antara kegiatan utama masyarakat ini ialah menangkap ikan sebagai sumber pendapatan tetap mereka. Golongan perempuan akan menjalankan aktiviti mereka seperti menyalai perahu dengan obor api yang diperbuat daripada daun-daun kelapa kering untuk membakar lumut-lumut melekat di dasar perahu. Kanak-kanak pula suka bermain engkek-engkek (kapal terbang) bermain layang-layang dan mengutip kerang dan siput laut semasa air surut.

Sebelum memeluk agama Islam, masyarakat ini amat mempercayai kepercayaan animisme. Mereka sangat percaya bahawa serangan penyakit dipercayai wujud akibat gangguan syaitan dan tidak dapat diubati dengan cara biasa maka mereka akan meminta pertolongan jin dan iblis sebagai perantaraan dengan pawang atau bomoh. Selain itu, cara hidup masyarakat ini penuh dengan kepercayaan tradisi dan bersifat ritual. Semasa wanita hamil, mereka percaya terdapat satu lubang di bawah tanah akan terbentuk dengan sendirinya di luar penglihatan mata kasar manusia. Lubang tersebut memberi jaminan bahawa wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak akan dikuburkan di lubang tersebut manakala apabila wanita itu selamat melahirkan anak maka lubang tersebut akan tertutup secara sendirinya selepas 44 hari.

Usaha untuk melestarikan kehidupan masyarakat Palau' ini harus dititikberatkan agar ciri-ciri istimewa yang mereka miliki dapat turut menambahkan lagi keindahan dalam warna budaya bangsa Malaysia.

(Sumber : Dewan Budaya, September 2007, Penulis : A. Ghaffar Haji Abdullah dan Ibrahim Musing)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ok video ya...cantik bah

Florence James berkata...

thanx rab

Catat Ulasan